Sunday, October 18, 2009

BILA IBU JADI HAMBA..

















(gambar hiasan)

KISAH yang dibentangkan minggu ini agak berlainan sedikit, bukan mengenai bercinta dengan isteri orang atau sebaliknya, tetapi tentang kelohan seorang ibu tentang nasib yang dikatakannya tidak sebaik nasib ibu-ibu lain.

Ada kaum wanita menempuh kepayahan hidup di awal remaja mereka dan berubah kepada lebih baik setelah dia bekerja dan berumah tangga. Ada pula yang susah ketika awal perkahwinan dan bahagia akhirnya setelah anak semakin besar. Ada juga yang susah di penghujung hayat mereka. Inilah yang menyedihkan.

``Nasib saya tidak seperti ibu ibu di atas tadi, boleh saya katakan hidup saya susah, tertekan jiwa, hati dan perasaan sejak dari saya berada di zaman remaja hinggalah setelah saya bercucu sekarang.

``Saya rasa mungkin saya salah seorang ibu malang di dunia ini, namun saya taklah kesal sudah nasib saya. Ini kehendak Allah saya redha, tetapi saya kesal sikap anak menantu yang membuatkan hati saya hancur seperti kaca terhempas ke batu,’’ demikian cerita Puan Hamizah kepada penulis (bukan saya, tetapi penulis asal cerita ini).

Sebenarnya sudah beberapa kali kami berbual, tetapi perbualan kami terputus-putus, kerana gangguan cucu menangis dan beliau takut bercakap terlalu lama di telefon bimbang anak menantunya tidak dapat menghubunginya di rumah kerana telefon sedang digunakan. Jadi kami berbual kira-kira 6 minit setiap panggilan. Hinggalah saya faham perasaan hati beliau yang terluka selama ini.

``Dah lama sangat saya nak luahkan isi hati saya ini, tetapi tak ada orang yang boleh saya percayai, lagi pun kehidupan saya yang terkurung tidak mengizinkan saya berjumpa dengan ramai orang. Nak cakap dengan jiran takut anak terasa malu. Jadi saya simpan semuanya dalam hati.

``Tetapi apa pun kesimpulan masalah saya ini semuanya berpunca kerana kemiskinan dan kesusahan hidup saya. Kalau hidup kita miskin, anak menantu pun tak suka, malah menganggap kita menyusahkan hidup mereka sahaja. Itulah nasib saya.

``Saya ibu tunggal, diceraikan kerana suami saya nak kahwin lagi, bakal isteri barunya tak mahu bermadu, jadi tinggallah saya bersama anak-anak seramai empat orang ketika itu masih dalam sekolah rendah dan dua sekolah menengah.

``Kerana anak pertama dan kedua perempuan agak pandai sikit dapatlah dia belajar ke sekolah menengah sains berasrama. Walaupun duduk asrama saya terpaksa hantar duit sebab belanja mereka agak tinggi, macam-macam benda nak dibeli.

``Saya bekerja keras untuk mencukupkan belanja mereka di samping dua orang lagi yang masih bersekolah rendah. Ayah mereka setelah menceraikan saya nafkah anak-anak langsung tak bagi. Nak jengok anak pun takut isteri baru marah. Puas saya pergi pejabat dan turun naik mahkamah syariah tapi gagal dapatkan nafkah. Buat habis duit tambang aja, terpaksa cuti akhirnya saya buat keputusan biarlah dia berseronok dengan kehidupan barunya dan jawablah di akhirat nanti.

``Ketika bercerai saya tak ada rumah, menyewa rumah kecil di kawasan dekat KL memang mudah saya pergi kerja, tapi sewa rumahnya tinggi. Selain bekerja saya jual kain potong yang orang hantar minta saya jualkan, paling tidak dapat juga anak-anak berganti pakaian yang mereka berikan. Biarpun pakaian terpakai tetapi masih baru, senanglah kami berpakaian. Kalau besar saya kecilkan.

``Dengan izin Allah anak yang tua sambung belajar buat diploma dua tahun kemudian yang kedua pulak ikut sama. Harapan saya bila mereka bekerja nanti senanglah sikit hidup saya. Sayangnya saya cuma berharap, Allah yang menentukan.

``Tak sampai enam bulan bekerja dia nak kahwin. Tersentak juga rasa hati, cepat sangat anak saya laku. Walaupun saya minta dia tangguhkan dulu, sebab tak berduit buat kenduri, tetapi yang lelaki mendesak. Anak saya Izah terpaksa ikut.

``Kenduri kami ala kadar saja. Kata Izah bakal suaminya tak suka buat majlis panggil ramai orang, membazir aja. Saya ikutkan memang pun saya tak berduit lagipun hantarannya tak tinggi cukup buat kenduri saja. Selesai majlis cuma dua malam menantu saya tidur di rumah, mereka terus pindah rumah lain.

``Dua hari lepas mereka pindah, ketika saya sibuk mengira hutang belum selesai Izah datang ke rumah bersama suaminya, bertanyakan mana set bilik pengantin sebab dia nak bawa ke rumah mereka. Izah tahu saya cuma beli katil dan tilam, almari pakaian dan almari solek pakai yang lama lagi pun rumah sewa kami kecil sangat mana nak muat. Tetapi sebenarnya saya tak mampu nak beli semua benda itu.

``Kerana tak ada set tersebut menantu saya minta beli yang baru. Hutang lagi. Izah tak berani bantah walaupun dia tahu saya tak berduit. Hutang lama tak selesai hutang baru bertambah. Namun dalam hati kecil saya mengharapkan kalau Izah bagi saya RM100 setiap bulan seperti sebelum dia kahwin, mungkin hutang itu boleh saya selesaikan. Tetapi sejak Izah kahwin dia tak beri saya duit langsung.

``Waktu itu memang saya susah, mana nak bayar hutang, tiga orang anak lagi tengah belajar, seorang peringkat akhir pengajiannya, sementara seorang lagi nak ambil SPM, tetapi pada siapa saya nak mengadu, saudara mara bukan orang kaya, mereka pun duduk kampung harapkan anak-anak. Namun mereka masih bernasib baik daripada saya kerana ada anak-anak yang menolong. Berbanding saya.

``Kerana terdesak saya minta Izah bantu bayarkan duit pereksa adiknya, tetapi kata Izah dia tak ada duit, semua duit gajinya suaminya pegang. Kata Izah suaminya kata lepas kahwin dia mesti ikut perentah suami bukan emak lagi, syurga bawah tapak kaki suami. Lagi pun dia nak simpan duit beli kereta baru dan rumah.

``Hendak tak nak saya terpaksa tebalkan muka pinjam pada kawan sekerja RM100 janji bayar dua bulan. Ketika Imah habis belajar saya menyimpan hajat mungkin bila dia kerja nanti dia boleh membantu saya. Imah pulak lambat dapat kerja, dia terpaksa kerja sementara di kilang, memang dia ada bantu saya cuma beberapa bulan sebelum dapat kerja yang memaksanya pindah duduk nun di Selatan.

``Hati saya suka dalam duka. Gembira anak dapat kerja tapi sedih dia terpaksa tinggalkan saya. Di tempat baru dia terpaksa sewa rumah, jadi untuk tiga bulan pertama memang dia tak kirimkan saya duit sedikit pun. Sebaliknya saya terpaksa meminjam bagi dia belakalan sedikit duit semasa pindah dulu. Sekali lagi kawan jadi mangsa. Tapi saya bayar balik semuanya walaupun berdikit-dikit.

``Anak kedua pun cepat jodoh, tak sampai setahun bekerja dia kahwin orang sana. Saya buat kenduri kecil, nak panggil ramai orang kita perlu belanja besar. Asalkan mereka selamat kahwin sudah cukup. Ayah mereka datang untuk izinkan nikah saja. Tak ada satu sen pun dia keluarkan duit belanja.

``Kalau orang lain gembira anak perempuan mereka cepat kahwin tapi orang susah macam saya cuma tangis mengiringi mereka. Sedih dan takut apakah Imah juga ikut jejak kakaknya serahkan semua duit gajinya kepada suami. Kalau saya orang senang memang saya tak harap duit mereka, tetapi susah mereklah harapan saya.

``Dua orang anak lelaki saya Ismail dan Ishak faham masalah saya. Ismail tolak tawaran buat diploma walaupun dia layak, dia bekerja di kilang, katanya nak tolong saya dan adiknya habiskan belajar sampai tingkatan lima.

``Saya menangis mengenangkan pengorbanannya, namun saya terus memujuk supaya dia terus belajar, biarlah saya susah bekerja dan berhutang, asalkan masa depannya terjamin, tetapi dia menolak, dia terus kerja kilang. Katanya dia akan sambung belajar kalau ada rezeki. Tapi sampai kini dia masih kerja kilang dengan pendapatan cukup makan saja. Anak keempat saya pun berakhir dengan kerja kilang.

``Saya cukup sedih, tetapi apakan daya saya tidak ada kemampuan untuk mendesak mereka terus belajar kerana saya pun tak berduit. Ayah mereka tak ambil peduli selepas dia dapat empat orang lagi anak dengan isteri baru dan masil kecil- kecil.

``Peristiwa itu berlaku kira-kira 10 tahun lalu, kini badan saya semakin tua, sudah tak berdaya nak bekerja lagi. Untuk menampung hidup saya jaga anak orang yang dihantar ke rumah saya. Tetapi bila Izah tak ada pembantu dia suruh saya duduk dengan dia jaga anak-anaknya. Sekarang dah lebih 6 tahun.

``Saya rasa saya adalah pembantu rumahnya, tapi tak bergaji, dapat makan dapat tempat tidur. Tapi masalahnya saya dah berusia dekat 50 tahun, badan saya sudah tak kuat lagi. Kerana hidup susah sejak muda, saya memang kelihatan tua.

``Saya fikirkan bila dia ambil saya tinggal di rumahnya dapatlah saya ke surau dan buat amal ibadah dengan lebih selesa, malangnya sembahyang terawih pun jarang-jarang dapat pergi, di rumah aja menguruskan anak cucu.

``Bila sendirian saya selalu menangis mengenangkan nasib. Dari kecil anak saya besarkan, berhutang keliling pinggang untuk menyekolahkan mereka, tapi bila dah senang suami dia kutip hasil. Kalaulah anak saya menjaga saya, agaknya tak sampai umur saya 65 pasti saya dah mati. Cuma 15 tahun sahaja dia menjaga saya.

``Tetapi kalau dia ada umur dia akan hidup bersama suaminya lebih 42 tahun iaitu sejak 23 tahun umur dia mula bekerja hinggalah 65 tahun. Jadi apalah salahnya dia bantu hidup saya yang susah ini dan tolong anak-anaknya melanjutkan pelajaran. Memang tugas ibu membesarkan anak-anak dan menyekolahkan mereka, dan tak boleh minta pembalasan, itu benar, tetapi saya bukan orang senang saya susah.

``Apa yang menyedihkan saya ialah hidup dua orang anak lelaki saya sampai bila dia mesti bekerja jadi pekerja kilang. Bukan saya hina pekerja kilang, tetapi mereka pandai, mereka dapat tawaran sambung belajar ke IPTA apa salahnya kakak-kakak mereka menghulurkan bantuan kerana dia tahu saya susah dan ayahnya tak membantu

dan tak pernah beri nafkah. Salahkah saya meminta bantuan.

``Mengapa menantu saya terlalu berkira tentang duit dan membuat saya macam hamba abdi, kalau saya jadi pembantu rumah kepada orang lain tentu saya dapat imbuhan, tetapi duduk di rumah anak sendiri saya benar-benar terhina. Saya perlukan masa sendiri untuk membuat amal ibadah yang banyak saya tinggalkan semasa bekerja dahulu. Tetapi semuanya tersekat kerana menguruskan 4 orang cucu pergi sekolah rendah, sekolah agama, tadika dan sebagainya.

``Sudahlah hidup saya susah semasa membesarkan anak-anak dahulu, dah tua begini pun saya terpaksa jaga cucu. Saya rasa terhina kerana duduki menumpang di rumah mereka. Kerana saya tidak punya apa-apa, miskin dan tak berharta saya dibuat macam hamba. Nak berbual dengan anak pun terhad, menantu sentiasa mengawasi, apa lagi kalau nak berbual dengan jiran tetangga.

``Saya merasa amat sedih terutama bila besan atau saudara mara menantu saya datang ke rumah, saya tunggang langgang di dapur memasak, mereka cuma berbual dan menunggu hidangan terhidang di meja saya betul-betul terhina.

``Lagi sedih bila menantu bising pasal bil elektrik dan air meningkat. Sabun pencuci cepat habis pun merunsingkan fikirannya. Menantu saya terlalu berkira pasal duit, duit, duit itu. Entah bila penderitaan saya akan berakhir. Saya sentiasa berdoa supaya saya tidak terlantar sakit terlalu lama sebelum mati. Kerana saya tak tahu siapa nak jaga saya nanti.’’ Demikian cerita Hamizah dengan nada suara tersekat-sekat.

Saya hanya tumpang sedih apakah zaman ini masih ada anak-anak seperti ini, Benarlah kata Hamizah, kalau diri tak berduit bukan sahaja dihina orang, anak-anak sendiri pun benci dan tak hormatkan kita lagi. Agaknya mereka terlalu hormatkan suami kerana syurga di bawah tapak kaki suami. Ibu tak berguna lagi.

Tapi kata seorang teman, suami boleh berganti kalau jodoh dah tiada, tapi ibu itulah satu-satunya di dunia dan di akhirat. Sayangilah ibu semasa dia masih ada lagi. Kerana doa ibu membawa berkat.

p/s : Sebagai seorang ibu terharu sungguh saya membaca keluhan ibu tua ini..sedihnya mengenangkan nasibnya.

*****************************************************

Rasulullah s.a.w. ketika menggambarkan tanda-tanda
kiamat ada menyatakan bahawa akan sampai suatu masa
apabila “Ibu-ibu akan melahirkan tuan-tuan”. Telahan
baginda itu kini menjadi nyata. Sudah berapa banyak
ibu yang melahirkan anak-anak derhaka. Sudah berapa
banyak anak yang disusukan ibu mereka kini
mengarahkan ibu bapanya supaya melakukan begitu dan
begini.

Satu perkara yang perlu disemat dalam ingatan
seorang anak, hati ibu bapa di kala usia senja
mereka amat mudah tersinggung dan terasa. Jangan
dibiarkan tersinggung hati mereka dek perkataan
ataupun kerenah kita. Jika tidak, besarlah dosa kita
di sisi Allah s.w.t.

Percayalah betapa sunyinya hidup ibu dan ayah bila
anak-anak sudah berumah tangga. Betapa pilunya hati
mereka kalau di hujung usia mereka diletakkan di
rumah orang-orang tua. Betapa kejamnya jikalau ibu
bapa dijadikan orang gaji, tukang masak, pengasuh
atau tukang kebun.

Kata Sahabat Rasulullah s.a.w. yang bernama ‘Urwah,
“Tunduklah kamu di hadapan ibu dan bapa kamu
sebagaimana tunduknya seorang hamba abdi di depan
tuannya”. Berkata pula ‘Atha bin Rabah, “Janganlah
kamu mengangkat tangan apabila kamu sedang bercakap
dengan kedua ibu bapa kamu”. Sementara Imam al-Hasan
pula menyebut, “Hendaklah si anak itu bercakap
kepada kedua orang tuanya, “Wahai ibu, wahai ayah!,
dan jangan sekali-kali memanggil dengan menyebut
nama mereka”.

Akhir sekali, pulanglah menziarahi ibu bapa di
kampung. Renung dan tataplah wajah mereka berdua
walau kedut sudah seribu. Suaplah nasi ke mulut
mereka. Cempunglah mereka untuk menunaikan hajat
sekira mereka terlalu uzur. Imamkan solat mereka.
Urut dan picitkanlah badan mereka. Hamparkan
permaidani untuk mereka. Kembalikanlah
kenangan-kenangan indah di ruang mata mereka saat
kita di dalam pelukan dan jagaan mereka.

Rindu mereka pada anak-anak bukan lagi pada harta
kekayaan dan pangkat kita, sebaliknya rindu pada
belaian kasih, doa tulus dan bakti murni kita.

Firman Allah swt: “Bersyukurlah kepada-Ku dan kedua
ibu bapamu dan hanya kepada-Kulah tempatmu kembali”.
(Luqman: 14).

Firman Allah swt: “Dan berdoalah, ‘Wahai Tuhanku
kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani
diriku sewaktu kecil dahulu.” (Al-Israk: 24)


Share/Bookmark

9 comments:

Pn Kartini said...

Salam Zai..
Ini yg dikatakan..
Ibu boleh menjaga anak yg ramai..namun ank yg ramai itu belum tentu boleh menjaga ibu nan seorang..

IMANSHAH said...

Salam kak..air mata lelaki saya jatuh bile membaca kisah ini. Teringat ibu saya..ayah pun baru meninggalkan kami, saya tahu kesedihannya tak tertanggung.ramai juga ibu2 di luar sana yang terpaksa menjadi pengasuh kepada cucu-cucu mereka..

insan_marhaen said...

Uh... harap aku tidak seperti itu... Tuhan. maafkan hambamu ini...

Anem Arnamee said...

Salam.

semoga kita jadi anak yg baik.
sedih*

Anonymous said...

hi thankssss

MONOKROM said...

Ass....

...karena itu surga ada dibawah telapak kaki Ibu, barang siapa durhaka kepada orang-tuanya maka mereka tak akan pernah menghirup bau surga sebelum memperoleh ampunan dari orang-tua yang telah mereka durhakai, demikian banyak alim-ulama kisahkan betapa kita harus menghormati, menyayangi dan berbakti kepada kedua orang-tua kita...

Wass...

kakna said...

orang selalu bertanya knp menolak jodoh.. inilah jawapannya..
saya rela tidak berumah tangga dari berjodoh dgn lelaki seperti menantu yg diceritakan ni..

memang kadang2 serba salah antara ibu bapa atau suami.. tp kalau suami yang seprti ini, berbaloikah kesetiaan kita? para isteri jangan terlalu bergantung pada suami, kita tak tahu di masa depan pergantungan itu mungkin memaksa kita berada dlm keadaan tersepit..

ibu dan ayah.. memang merekalah satu satunya.. tiada dua..dan tidak akan pernah ada yang menggantinya..

Werdah said...

Salam zai,

Sesak nafas membaca catatan ini, walaupun ini kali kedua kak tetap membacanya..

Kadang2 Zai, anak2 manjadi begitu krn ibu bapa juga, kurang menunaikan hak dan tanggungjawab sejak di dalam kandungan, semasa kecil dan membesar lalu anak2 membesar dalam keadaan tidak ada perasaan tanggungjawab, Hak anak dp ibu bapa ttp ada sebagaimana hak ibu bapa terhadap anak2.. Ustaz Kriman dalam ceramah ada menerangkan hal ini dalam tatacara menyambut kelahiran, tuntutan menyambut sebaik sahaja keluar ke dunia, aqiqah, menyusukan dan seterusnya.. seterusnya.. memberikan pendidikan agama.

Walaubagaimanapun persoalan bagi ibu dalam N3 ini mungkin tidak seperti yg kak katakan ini.

Kak pun bimbang fasal ni sebab kak pun belum cukup memenuhkan t/jawab kpd anak2.. namun setakat ni alhamdulillah belum ada masalah.. namun kak tetap bermohon kpd Ilahi agar jgnlah mengalami masalah seperti ibu ini..

Mudah2an masalah yg ditanggung oleh ibu2 seperti ini dapat diatasi juga..

Semoga Allah memberi petunjuk kpd sesiapa yg mahu diberi petunjuk..

ASYIQ said...

Sedih baca kisah ni....

Moga2 anak2 dia diberikan kesedaran.

TUAN RUMAH MENYAPA

TEMAN TAPI MESRA

Ya Allah..Jangan Kau Pisahkanku dari Rahmat Mu..

Aku Memohon kepadaMu ya Allah..Kau tetapkanlah Imanku disepanjang waktu, Kau Jadikanlah aku diantara hambamu yang Soleh, Jauhkanlah aku dari segala Godaan Syaitan dan Kemegahan Dunia.. dan Kau Peliharalah Zuriatku dan Keturunanku dari segala tipu daya Syaitan dan Jadikanlah Anak2ku dikalangan mereka yang Soleh dan Solehah dan Kau Ampunilah dosa2ku, dosa2 suamiku, dosa2 anak2ku, dosa2 kedua ibu-bapaku, ibu bapa mertuaku dan dosa saudara2ku yang telah meninggal dan kau matikanlah kami di dalam keadaan kami telahpun suci dari segala dosa2 yang kelihatan dan xdak, yang disengajakan dan xdak, yang disedari dan xdak....Amin3 Ya Rabbal A'lamin

AWARD DARI ANA SOLEHAH

AWARD DARI ANA SOLEHAH

award dari NURA

award dari NURA

AWARD DARI A KL CITIZEN

AWARD DARI A KL CITIZEN

AWARD DARI KAK WERDAH

AWARD DARI KAK WERDAH

AWARD DARI MAIYAH - THANKS

AWARD DARI MAIYAH - THANKS

AWARD DARI DIDA-THANKS

AWARD DARI DIDA-THANKS

AWARD DARI SYAHIDAH & UMMI HUMAIRA

AWARD DARI SYAHIDAH & UMMI HUMAIRA

AWARD DARI IENA

AWARD DARI IENA

AWARD DARI SAIFUN NIZAM

AWARD DARI SAIFUN NIZAM

AWARD DARI IDA MOY

AWARD DARI IDA MOY

AWARD DARI TIRANA

AWARD DARI TIRANA