Wednesday, October 14, 2009

INGIN BERKAHWIN ITU FITRAH...

Sebagai seorang insan, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah bekalkan pelbagai keinginan di dalam diri manusia. Ia merupakan keinginan semulajadi, yang datang tidak diundang dan keinginannya tiada siapa yang mendorong.

Di antara banyak keinginan semulajadi manusia itu ialah ingin berkahwin. Tiada makhluk di muka bumi ini menidakkan kenyataan ini. Haiwan yang membuas di hutan belantara dan yang hidup melata di muka bumi ini pun berkahwin apatah lagi manusia yang dibekalkan oleh Subhanahu wa Ta’ala nafsu dan perasaan, sesungguhnya itu ia amat berkeinginan.

Tetapi apabila ada orang yang mengatakan dia lebih seronok membujang atau ‘mendara’, hakikatnya dia telah menentang fitrah hatinya. Orang yang bersifat demikian jiwanya akan tertekan. Kadang-kadang situasi ini akan membuatkan dia mengambil keputusan yang sukar dipertimbang malahan ia mudah sekali melakukan dosa dan kejahatan.

Oleh kerana jalan itu adalah bahaya dan kesannya amat dipandang hina maka manusia berusaha untuk mencari pasangan hidupnya untuk dinikahi.

Buktinya orang lelaki akan berusaha untuk dapatkan pangkat dan kekayaan dengan tujuan agar mudah dapat calon isteri. Di bangku sekolah lagi keinginan untuk kahwin sudah kelihatan. Iaitu bila yang lelaki sudah pandai berkenalan dengan murid perempuan. Berutu-utus surat, kononnya untuk bertukar fikiran dalam pelajaran. Tetapi niat sebenarnya ialah kerana ada kecenderungan hati pada wanita. Minat pada wanita sudah bangkit dalam jiwanya. Walhal kalau hendak bertukar-tukar fikiran dengan kawan lelaki pun boleh. Tetapi lebih suka cari yang perempuan.

‘Perkenalan Lelaki & Perempuan yang Membelakangkan Syariat’

Begitu juga di pihak perempuan. Masuk belasan tahun mulalah pasang badan. Mula pandai berhias-hias dengan make-up dan baju cantik dan suka diri dipandang cantik. Dengan harapan adalah lelaki yang terpikat. Kerana minat pada kaum yang berlainan jenis telah bercambah. Bermulalah api cinta.

Perkenalan lelaki perempuan yang membelakangan syariat akan menuju kepada kehancuran dan dosa. Akan mudahlah berlaku perkara yang menyebabkan maruah ternoda gara-gara cinta nafsu muda. Kerana apabila berdua-duaan antara lelaki dan perempuan maka syaitan akan jadi orang ketiga yang akan mencetuskan api berahi hinggakan berlakulah zina mata, zina tangan, zina badan dan hingga membawa kepada zina sebenarnya.

Perkahwinanlah jalan keluar untuk menyelamatkan manusia daripada godaan nafsu syahwat. Imam Al-Ghazali menyatakan tujuan perkahwinan ialah untuk memberitahu manusia akan nikmat di akhirat. Dengan merasakan nikmat yang sedikit manusia sepatutnya lebih berhajat kepada nikmat yang lebih besar di akhirat, yakni syurga dengan melakukan ketaatan kepada Allah sehingga ia layak sampai ke sana.

‘Bila Kahwin Tidak Berkat, Mudahlah Hati Pecah & Retak…’

Janganlah disebabkan tidak cukup belanja maka perkahwinan jadi terhalang. Walhal nafsu syahwat sudah tidak terkendalikan dan bila-bila masa sahaja boleh mendorong tuannya kepada maksiat. Mengenakan hantaran atau belanja beribu-ribu ringgit sehingga membantut atau melambatkan saat perkahwinan adalah hal yang sangat tidak patut. Kerana sikap yang begini boleh menyebabkan ada yang nanti sanggup hidup bersekedudukan lelaki perempuan tanpa nikah.

Selalunya ibu bapalah yang sibuk mengenakan hantaran belanja yang tinggi, untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain yang bakal menantunya orang kaya, berjawatan tinggi, bolehlah dia berbangga-bangga. Itulah ciri-ciri orang yang sombong akan menjerumuskan tuannya ke neraka. Salah siapa kalau anak kahwin lari? Sudah dipinang tidak dapat, dibawalah lari. Ibu bapa juga yang putih mata.

Ramai ibu bapa yang suka pilih menantu yang bergaji besar, pangkat besar tetapi tidak peduli sama ada bakal menantu punya iman besar atau tidak. Kadangkala ibu bapa menolak lamaran lelaki yang bergaji rendah walaupun akhlak yang baik, kerana bimbang masa depan anaknya gelap bersuamikan lelaki miskin. Mereka tidak bergantung kepada rezeki dari Allah.

Sikap ibu bapa yang suka mengenakan hantaran tinggi mestilah diubah. Agar perkara itu tidak menjadi penghalang perkahwinan dan punca maksiat. Yang penting dalam perkahwinan adalah akad nikah dan mas kahwin. Mas kahwin yang ditetapkan oleh pihak yang bertanggungjawab insya-Allah mampu dibayar oleh pihak lelaki. Walaupun begitu sekiranya pihak perempuan sanggup menerima mas kahwin dalam bentuk yang lain dari itu pun dibolehkan misalnya, mas kahwin yang berupa sebentuk cincin, ayat Al-Quran dan sebagainya.

Oleh sebabnya sulit berkahwin, kini terdapat lelaki yang memuaskan nafsu dengan lelaki, perempuan dengan perempuan. Perbuatan kaum Lut dahulu dipopularkan kembali. Walhal kaum Lut dahulu telah menerima bala’ dari perbuatan mereka. Allah terbalikkan bumi kerana murkanya Allah dengan perbuatan itu. Kita bimbang kalau amalan ini dibiarkan berlaku terus menerus maka Allah akan balakan semua orang yang ada dalam masyarakat itu, kerana membiarkan maksiat didepan mereka sedangkan perbuatan itu termasuk dalam dosa-dosa besar, dan jalan ke arah yang halal disusahkan.

Berkahwin boleh mengatasi masalah itu. Sebelum berkahwin pilihlah pasangan yang mempunyai pendidikan agama, yakni bukan setakat memiliki ilmu agama bahkan ilmu itu boleh lahir dalam akhlak dan perbuatannya. Wanita-wanita yang beragama sahaja yang boleh sabar dengan ujian hidup berumah tangga. Mampu hidup susah, sanggup menjaga maruah diri dan suami. Akan meletakkan suami orang yang mulia dalam rumah tangga.

Sebagaimana sabda Rasulullah Salallahu Allaihi wa Sallam:

“Perolehilah olehmu wanita yang memiliki agama, nescaya engkau berbahagia.”

Ada lelaki yang dirinya tidak baik, kaki zina, kaki arak dan kaki perempuan atau kaki maksiat, tetapi bila hendak berkahwin ia mau cari anak gadis yang baik dan beriman.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud:

“Lelaki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik.” [An-Nur:3]

Ertinya, lelaki fasik yang padan baginya ialah perempuan fasik. Lelaki alim akan mencari gadis alim. Tidak peliklah kalau gadis alim juga akan menunggu pinangan orang alim. Lantaran itu bila datang pinangan lelaki fasik walau berjawatan tinggi dan berpangkat besar mereka akan menolak walaupun keluarga berkeras mahu menerimanya. Sebaliknya keluarga yang cinta dunia, bila datang lelaki alim dan tidak punya jawatan tinggi meminang, ditolak. Menderitalah si gadis berdepan dengan keluarga yang begitu. Tidak sanggup dipaksa kahwin dengan lelaki fasik yang mana dia tahu kalau berlaku juga perkahwinan itu imannya akan tergadai. Justeru itu ada yang sanggup lari meninggalkan keluarga untuk selamatkan iman.

Perkahwinan juga dikira sebagai ibadah dan amal soleh yakni berpahala sekiranya aturan perkahwinan dapat dibuat mengikut syariat islam. Sebaliknya akan mendatangkan dosa sekiranya dibuat mengikut adat dan membelakangkan syariat. Hari ini berapa ramai orang yang berkahwin, yang membuatkan syaitan tergelak besar dengan perkahwinan itu. Sepatutnya syaitan sedih dan menangis tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.

pelamingahatsair

Syaitan gembira kerana bila buat majlis perkahwinan, bercampur aduk lelaki perempuan. Ada muzik, ada majlis persandingan yang ditonton oleh ribuan mata. Pakaian penganti yan mendedah aurat dan mahal serta membazir. Buat majlis yang besar sehingga ada yang memakan masa berhari-hari untuk meraikan sesuatu majlis perkahwinan sampai tertinggal solat fardhu, lalai dengan Allah. Maka perkahwinan ini bukannya mendapat berkat sebaliknya mendapat lakhnat dari penduduk langit.

Janganlah kerana berlebihan duit buat majlis kahwin besar-besaran. Sehingga melalaikan orang. Yang lebih lalai ialah pengantin. Macam mana hendak solat kalau kat tangan sudah penuh inai dan kuitex. Senantiasa bermake-up, bersanggul, pakai baju cantik. Rosaklah make-up, rambut yang sudah diset kalau mengerjakan solat. Begitulah perkahwinan yang melalaikan manusia pada tuhan. Tiada berkat malah tiada pahala disisi Allah. Tidak peliklah kalau usia perkahwinan tidak panjang. Indahnya perkahwinan hanya semasa berbulan madu. Lepas itu mulalah nampak belang pasangan masing-masing.

Bila kahwin tidak berkat mudahlah hati pecah dan retak. Perkara kecil boleh dipertengkarkan hingga jadi besar. Bila sudah selalu sangat bergeser, maka suami pun mula luntur kasihnya pada isteri. Mulalah suami nampak perempuan lain lebih cantik dan lebih baik dari isterinya. Apabila bila perut isteri sudah memboyot ada suami yang pikat gadis lain berpinggang ramping. Di pihak isteri pun begitu juga. Mula rasa suami tidak hebat. Lelaki di tempat kerja lebih baik dan bergaya dari suami. Bila masing-masing tidak bersefahaman maka jalan keluar yang paling cepat ialah berpisah.

Inilah gara-gara perkahwinan yang tidak berkat. Ada campur tangan syaitan yang menyebabkan rumah tangga sering berada dalam kegoncangan dan kepanasan.

Sepatutnya setiap perkahwinan di antara dua insan, syaitan akan menangis, akan kalahlah syaitan, tetapi sebaliknya syaitan yang menang dan gembira akibat kita membelakangkan syariat dan ketetapan Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Wallahualam...

Share/Bookmark

12 comments:

abu muaz said...

Salam. Membujang dan mendara sudah menjadi trend hidup kini.Kenapa semua ini sudah mula berlaku dalam masyarakat islam kita? Barangkali pergaulan bebas tanpa batasan itu sudah merosakkan segalanya.Sebab itulah ada ayat quran yg membawa maksud

"jangan kamu hampiri zina....".

Ayat itu tidak difirmankan jangan kamu berzina tetapi jangan hampirinya. Hari ini semua yg membawa kearah hampiri zina itu berada dimana-mana. Malangnya lagi bila ada kumpulan tertentu berjuang untuk persamaan hak antara lelaki dan perempuan. Lebih malang lagi bila imam jumaat pun sudah ada wanita yg sanggup mengepalainya.

Syariat yg Allah turunkan ini bukan untuk ditonton dan dipermainkan tetapi untuk diamal.Jika tidak tunggulah saat kehancurannya.

maza said...

good info sis. really good info..

love it very much. & hope that you allow me to 'quote' or 'excerpt' from your very informative article.

thank you...

warmest regards,
maza

Relevan said...

Ingin berkahwin lagi... :)

Werdah said...

salam Zai,

Semua ayat2 Allah dan semua hadis dah jelas utk manusia.. fitrah pun Allah bagi.. Allah pun bagi pilihan.. manusialah yg memilih nak buat utk dirinya.. bila buat pilihan Allah tlg dlm melaksanakan..

Bab acara perkahwinan, mmg selalunya ibu bapa terikut2 trend.. alangkah baiknya jika ada org memulakan hapuskan budaya2 yg membazir, melalaikan.. bila dah ada org mula dan org ikut, bergandalah pahala bagi org yg mulakan..

Zai, bimbang juga ni.. nak uruskan walimatulurus akan dtg.. dah ckp kat anak taknak pelamin.. taknak muzik dia setuju.. alhamdulillah.. yg lain2 tu.. belanja perkahwinan bg anak lelaki tentu besar..

Mudah2an dpt kurangkan juga masalah yg Zai tulis ni.. InsyaAllah.

Unknown said...

salam Zai..
sekejap ajer masa berlalu ..
pejam celik pejam celik 5 / 6 tahun lagi kita pula yg kena fikir bab bermenantu kan .. la ni ummi tak nak fikir bab menantu lg . he he he poning aih

kk said...

Alhamdulillah,sebab itu saya kahwin.hehehe. Lagipun doa org kahwin lebih diperkenankan Allah dari yg belum khwin.:)

myQza said...

KK.. betul ke doa org yg sudah kawen lebih di perkanankan berbanding yg belum kawen?

bukankah manusia itu samarata di sisi ALlah..

boleh tak bagi hadis tentang pernyataan anda itu!

Maiyah said...

skrg ramai yg tak kawin lagik, mrk hanya pikir dunia, tapi mrk tak tau apa yg bakal mrk hadapi kelak

becce said...

menikah juga membuka pintu-pintu rezeki mbak...kapan yah bisa nikah??

Pn Kartini said...

Salam zai..
Ntah kenapa laa..bila ke kenduri kahwin yg ada band nyanyian mesti rasa tak suka..cam tk sesuai jek..mungkin bising bangat ..:)....ntahlah..:)

Pe2 agar ada keberkatan itu...Amin..:)

Kakcik Seroja said...

Kenapa perlu berhabisan waktu majlis perkahwinan? Apakah sebenarnya yang ingin ditonjolkan? Apakah kemawahan itu akan menjamin kebahagiaan?

Renung2kan...

Alimaz-Kembara Terasing said...

saya paling tak suka pergi kenduri yang ada muzik yang membingitkannnn.....kalau saya dengaq saya akan batalkan ke majlis itu.....

TUAN RUMAH MENYAPA

TEMAN TAPI MESRA

Ya Allah..Jangan Kau Pisahkanku dari Rahmat Mu..

Aku Memohon kepadaMu ya Allah..Kau tetapkanlah Imanku disepanjang waktu, Kau Jadikanlah aku diantara hambamu yang Soleh, Jauhkanlah aku dari segala Godaan Syaitan dan Kemegahan Dunia.. dan Kau Peliharalah Zuriatku dan Keturunanku dari segala tipu daya Syaitan dan Jadikanlah Anak2ku dikalangan mereka yang Soleh dan Solehah dan Kau Ampunilah dosa2ku, dosa2 suamiku, dosa2 anak2ku, dosa2 kedua ibu-bapaku, ibu bapa mertuaku dan dosa saudara2ku yang telah meninggal dan kau matikanlah kami di dalam keadaan kami telahpun suci dari segala dosa2 yang kelihatan dan xdak, yang disengajakan dan xdak, yang disedari dan xdak....Amin3 Ya Rabbal A'lamin

AWARD DARI ANA SOLEHAH

AWARD DARI ANA SOLEHAH

award dari NURA

award dari NURA

AWARD DARI A KL CITIZEN

AWARD DARI A KL CITIZEN

AWARD DARI KAK WERDAH

AWARD DARI KAK WERDAH

AWARD DARI MAIYAH - THANKS

AWARD DARI MAIYAH - THANKS

AWARD DARI DIDA-THANKS

AWARD DARI DIDA-THANKS

AWARD DARI SYAHIDAH & UMMI HUMAIRA

AWARD DARI SYAHIDAH & UMMI HUMAIRA

AWARD DARI IENA

AWARD DARI IENA

AWARD DARI SAIFUN NIZAM

AWARD DARI SAIFUN NIZAM

AWARD DARI IDA MOY

AWARD DARI IDA MOY

AWARD DARI TIRANA

AWARD DARI TIRANA